Saturday, June 19, 2010

Warkah buat Puteri Aiko Raudhah

Salam anaknda Puteri Aiko Raudhah,

Terima kasih kerana sudi hadir membawa kegembiraan buat keluarga kita. Selamat datang Bonda ucapkan.

Sesungguhnya, 41 minggu puteri dalam kandungan, amat mudah buat Bonda. Tidak banyak ragam. Bonda tidak muntah sekali pun, seperti puteri-puteri berdua dahulu. Hampir-hampir Bonda menyangka putera yang bakal lahir kerana kelainannya kali ini. Selama berbulan-bulan Puteri bersama Bonda menghadiri kuliah sarjana Bonda, menyudahkan laporan-laporan yang diberikan serta sama-sama menghadapi beberapa peperiksaan. Puteri juga turut Bonda bawa bersama sewaktu melakukan kajian kes, dua kali terbang di udara kembali ke tanahair. Kita berulang-alik hampir setiap hari ke universiti Bonda selama sebulan lebih, semata-mata untuk menyudahkan tesis sarjana Bonda. Tidak lupa juga, Puteri turut sama sewaktu Bonda melancong ke Kansai bersama keluarga kita. Dan yang terakhir, Puteri sama-sama masuk ke bilik peperiksaan untuk membentangkan tesis sarjana Bonda. Puteri amat baik sekali dan tidak memberi sebarang masalah kepada Bonda. Terima kasih Bonda ucapkan, dan Alhamdulillah diberikan kemudahan dalam mengharungi pelbagai cabaran. Bonda juga ingin meminta maaf sekiranya kurang perhatian yang Bonda berikan sewaktu puteri dalam kandungan, dek kesibukan seharian.

Sungguh Bonda tidak sabar-sabar untuk bertemu puteri. Sejak Puteri 38 minggu lagi dalam kandungan, Bonda sudah menghitung hari akan bilakah hari pertemuan kita. Bonda sebenarnya amat risau akan kelahiran pertama kalinya ini di luar negara tanpa keluarga dan saudara-mara di sisi. Kelahiran ini juga kelahiran kali pertama untuk Bonda merasa segala kesakitan secara normal. Oleh itu, Bonda kurang pasti bagaimanakah rasa sakit bersalin sebenarnya dan apakah tanda-tanda kecil yang ditunjukkan saban hari menandakan hari pertemuan kita. Semakin hari semakin Bonda tidak keruan.

Perancangan Allah itu Maha Hebat, Puteri. Menjelang genap 40 minggu Puteri dalam kandungan, masih juga belum ada tanda-tanda yang pasti. Pemeriksaan antenatal minggu berikutnya, doktor telah pun mengarahkan Bonda untuk dimasukkan ke wad pada hari Selasa, tanggal 8 Jun 2010 untuk induksi kelahiran pada keesokan harinya, Rabu, 9 Jun 2010 jam 9 pagi. Bonda meninggalkan rumah dengan penuh harapan dan rasa takut yang amat sangat. Namun mujur juga sudah dimasukkan ke wad awal-awal lagi. Hilanglah rasa gelisah menanti debaran dari rumah.

Antara bekal yang Bonda bawa sewaktu diwadkan ialah air selusuh dan juga maksurat kecil yang lengkap dengan surah Yassin. Lebih kurang jam 2.30 petang, Baba telah pun meninggalkan Bonda diwad bersalin, Hospital Showa. Bonda mengambil kesempatan untuk rehat-rehat seketika. Bonda amat teruja dengan kemudahan di wad itu yang serba baru. Jururawat-jururawat dan petugas-petugas di wad itu amat peramah dan sangat membantu semuanya. Timbul juga rasa kesunyian. Dari keriuhan bersama puteri-puteri dan Baba di rumah kepada situasi yang amat berlainan dan rasa keseorangan di wad. Wad di sini tidak membenarkan siapa-siapa pun untuk menemani pesakit. Satu wad berkongsi empat katil. Sewaktu Bonda diwadkan, hanya tiga katil yang dihuni. Bonda terus berSMS dengan Baba untuk mengisi masa. Baba menyarankan agar Bonda naik turun tangga untuk memudahkan sewaktu bersalin nanti.

Sejurus makan malam pada jam 6 petang, Bonda berasa bosan dan turun ke tingkat bawah hospital untuk membeli beberapa keperluan di kedai kombini 7-Eleven. Syampu, sabun mandi, air mineral serta makanan ringan antara barangan yang Bonda beli. Selepas itu, Bonda terus ke tangga hospital dan aktiviti naik turun tangga pun bermula. Bonda naik sehingga tingkat tujuh hospital sebanyak dua kali!! Berpeluh-peluh Bonda dibuatnya... :)

Selepas mandi dan solat Maghrib, Bonda bacakan Yassin pada air mineral yang Bonda beli tadi. Air selusuh telah pun tinggal separuh botol kecil. Sesudah solat Isya, Bonda hanya rehat-rehat sahaja di katil wad sehingga tertidur. Lampu wad dipadamkan tepat jam 10 malam. Terkenang Bonda akan kekanda-kekandamu dan Baba di rumah yang mula tidur tanpa Bonda malam itu. Kerinduan mengusik juga.

Menjelang jam 12.30 malam, Bonda mula merasa ketegangan dan kesakitan pada anggota tertentu. Rasa itu datang berselang 10 minit sehingga jam 1.30 pagi. Bonda mula merasa pelik. Apakah ini rasa sakit mahu bersalin? Kemudian rasa tegang dan sakit itu datang lebih kerap, berselang lima minit. Ianya berlanjutan sehingga jam 2.30 pagi. Bonda mula rasa tidak tentu dan menekan butang memanggil jururawat. Apabila diterangkan keadaan Bonda, jururawat bertugas terus mengarahkan Bonda membawa persiapan untuk melahirkan dan berpindah ke bilik pantauan. Hati Bonda mula berdebar-debar, di samping menanggung rasa sakit yang datang saban waktu. Beg persediaan bersalin yang dibekalkan oleh hospital dibawa bersama air selusuh, air Yassin dan telefon bimbit.

Dalam bilik pantauan, perut Bonda dipasangkan alat untuk mengesan ketegangan yang dirasai serta nadi Puteri. Tidak sangka, ianya semakin kuat berbanding sewaktu diwadkan. Rasa sakit dan tegang terus datang dan pergi berselang lima minit. Ya Tuhan... sakit juga ya!! Bonda terus meneguk sedikit demi sedikit air selusuh. Sempat juga Bonda memberitahu Baba, Mamipah dan Tok Ibu akan perkembangan Bonda waktu itu melalui SMS. Waktu itu juga Baba, Mamipah serta saudara-mara kita di Malaysia masing-masing berpakat solat hajat untuk kita berdua mengharungi saat-saat genting itu. Alangkah bertuahnya nasib Bonda dan Puteri.

Menjelang 4.30 pagi, Bidan mendapati bukaan telah pun menjadi 4 cm dan keadaan Puteri sangat aktif dan baik sekali. Kemudian Bonda ditinggalkan sementara untuk rehat seketika. Sewaktu itulah sakit dan rasa tegang semakin hebat Bonda rasai. Semakin kerap hingga berselang seminit sahaja. Ya Allah!! Berilah kekuatan, ringankanlah kesakitan ini. Walaupun bilik itu berhawa dingin, Bonda terus berpeluh-peluh menahan kesakitan yang Allah mahu Bonda rasai.

Bidan datang lagi sejam kemudian dan bertanyakan keadaan Bonda. Bonda dalam keadaan menanggung kesakitan menceritakan hal sejam lalu. Keadaan Puteri masih baik katanya. Bidan sekali lagi mahu memeriksa bukaan laluan. Waktu itu rasa sakit amat sangat dan Bonda minta menangguhkan sehingga rasa sakit hilang. Namun, Bidan tersebut mahu memeriksa juga sewaktu sakit. Aduhaiii.. sakit berganda rasanya. Waktu itu katanya bukaan sudah pun menjadi 9 cm!! Padanlah kuat benar rasa sakitnya. Bukaan 4 cm menjadi 9 cm dalam masa sejam! Mungkin itulah berkat solat hajat beramai-ramai yang dilakukan. Syukur Alhamdulillah.

Setelah itu Bidan mahu Bonda masuk ke bilik bersalin. Bonda meminta Bidan tersebut untuk menelefon Baba. Oleh kerana masih awal pagi, Baba terpaksa menolak untuk menemani Bonda kerana terpaksa pula menjaga kekanda-kekandamu yang masih tidur waktu itu. Bonda amat memahami keadaan itu dan menerima takdir kali ini. Sebelum ke bilik bersalin, Bonda disuruh membuang air kecil di tandas. Waktu itu rasa untuk meneran sudah pun dirasai. Dalam kesakitan, ketegangan dan rasa mahu meneran, Bonda gagahkan juga untuk membuang air kecil, seperti yang diarahkan. Tidak mudah rupanya.

Dalam bilik bersalin, Bonda disiapkan dengan pakaian, peralatan dan posisi untuk melahirkan Puteri. Air selusuh waktu itu sudah habis. Mujur sempat membuat air Yassin. Bonda teguk sedikit demi sedikit air Yassin setiap kali waktu sakit datang. Apabila tiba rasa untuk meneran, Bonda menjadi panik!! Perlu menerankah? Hampir menjerit Bonda kerana sangat takut waktu itu. Bidan dengan tenang, mengarahkan Bonda untuk lihat terus ke matanya melepaskan nafas perlahan-lahan... dan bukaan pun menjadi 10 cm. Bidan memberitahu Bonda setiap perkembangan yang berlaku.

Rasa meneran seterusnya tiba lagi. Bonda terus memerhatikan Bidan dan menantikan arahan lanjut daripadanya. Kali ini dia mengarahkan untuk Bonda meneran!! Sekuat tenaga, Bonda pun meneran..... sehingga air ketuban pecah. "Bagus! Sangat mahir!" Begitulah kata Bidan tersebut memberi semangat. Mula timbul rasa keyakinan dalam diri Bonda. Begitu rupanya memecahkan air ketuban secara normal.

Tiba rasa meneran berikutnya, Bidan terus mengarahkan Bonda untuk meneran. Bonda pun terus meneran sehingga sehabis daya! Apabila nafas Bonda putus, Bidan mengajarkan pula untuk melepaskan nafas... huuuu... tarik semula dalam-dalam, dan teruskan meneran! Bonda ikuti setiap arahannya. Apabila nafas terputus lagi, Bidan mengajak Bonda berehat seketika dan nantikan rasa meneran berikutnya. Sungguh tenang sekali Bidan tersebut, hingga Bonda hilang rasa takut dan timbul pula rasa mahu berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan Puteri.

Begitulah keadaan Bonda berlarutan sehingga kali ketiga dan keempatnya. Apabila kelihatan seperti Bonda mula mahu putus asa, Bidan tersebut terus bercerita lagi; "Ira, anakmu sudah mahu keluar. Rambutnya sudah kelihatan, sepanjang ini!" sambil dia menunjukkan panjang rambut Puteri dengan jari ibu dan jari telunjuknya. Semangat Bonda datang lagi. Terlintas juga di hati, jika tesis yang susah dapat Bonda harungi, apa lagi mahu melahirkan Puteri, pertemuan yang Bonda tunggu-tunggu saban hari.

Dalam hati, Bonda terus mengucapkan selawat dan zikir yang kawan-kawan dan saudara-mara ajarkan. Mudahkanlah.. mudahkanlah.. begitulah doa Bonda sepanjang melalui saat bersabung nyawa itu.

Selepas kali kelima, keenam atau ketujuh meneran, akhirnya saat yang telah tertulis tiba juga. Tepat jam 6.38 pagi di bilik bersalin itu, tanggal 9 Jun 2010, tanpa induksi kelahiran seperti yang dirancang, Puteri selamat dilahirkan. Bidan tersebut terus menyebut, "OHAYO!" umpama mewakili Puteri mengucapkan selamat pagi kepada Bonda dan terus memberitahu jantina Puteri. Tiada apa yang dapat Bonda zahirkan waktu itu selain Alhamdulillah! Alhamdulillah! Allahuakbar! Allahuakbar! Ucapan secara spontan yang terpancul saat pertama kali melihat Puteri yang diletakkan di atas dada Bonda. Terasa mahu mengalirkan airmata saat itu juga!

Prosedur seterusnya dilakukan ke atas Bonda seperti mengeluarkan uri, menjahit, mencuci dan sebagainya. Pada waktu yang sama, Puteri juga dibersihkan dan diambil berat dan dibuat beberapa ukuran dan pemeriksaan. Saat diberitahu berat Puteri mencecah 3.5 kg, Bonda terperanjat dan rasa amat bersyukur sekali. Anakndaku yang paling besar!! Untuk mengalihkan perhatian dari rasa sakit yang dirasai, Bonda terus berpaling melihat Puteri dikendalikan oleh jururawat yang pakar dengan tugas mereka. Setengah jam juga barulah semuanya selesai.

Apabila sudah siap semuanya, Puteri diletakkan sekali lagi atas dada Bonda untu disusukan. Kita berdua ditinggalkan bersendirian buat sementara dalam bilik bersalin itu. Waktu itulah Bonda mula merasa sayu kerana ketiadaan Baba di sisi. Bonda mula membisikkan azan dan iqamah di telinga Puteri waktu itu. Bonda dapat tahu yang Baba hanya akan tiba menjelang 9 pagi. Terlalu lama untuk menantikan Baba membisikkan seruan itu ke telinga Puteri, rasanya. Bonda bimbang akan ada gangguan lain yang terdahulu membisik ke telinga Puteri.

Kerana pendarahan Bonda agak banyak, Bonda dibiarkan sejam lagi di bilik bersalin itu. Puteri dibawa ke bilik bayi di bawah jagaan jururawat lain sementara memberi peluang Bonda untuk berehat. Bonda makan pagi di bilik bersalin juga, sambil berbaring. Setelah keadaan Bonda agak pulih, Bonda disuruh turun dari katil bersalin dan berjalan sendiri ke tandas. Tugasan pertama yang diberikan ialah buang air kecil di tandas. Puteri.. ohh Puteri. Dengan jahitan yang masih baru lagi, sungguh Bonda merasa ngeri untuk membuang air kecil! Namun, digagahkan juga. Sesudah itu, Bonda diiring berjalan perlahan-lahan hingga ke katil wad. Berehat Bonda di situ sehingga Puteri dihantar kepada Bonda untuk waktu menyusu seterusnya...

Puteri Aiko Raudhah. Anugerah, rezeki dan pengalaman yang tidak ternilai. Terimalah kasih tulus ikhlas dari Bonda buatmu, anaknda!

Nota: Bonda mohon maaf kerana tiada lagu yang Bonda cipta buat Puteri seperti kekanda-kekandamu dahulu. InsyaAllah selepas berilham nanti, Bonda tuliskan sebuah lagu khas buatmu, Aiko! Muahssss...

4 comments:

huda said...

aiko?nme jepun ke?

Anonymous said...

Yer sis. Nama Jepun.. Aiko bermaksud anak yang penyayang! ;)

Anonymous said...

Warkah ini berasal dari blog Mulanya Di Sini:

http://wilayahsitinur.blogspot.com

julie said...

Ira, it's a beautiful piece. Thank you for sharing it with us.